27 Februari 2011

Menjaga bayi perlukan sepenuh perhatian

Bulan November tahun lepas, negara gempar dengan kes kematian seorang bayi kerana tersedak susu. Hari ini (tika artikel ini disediakan), media cetak sekali lagi mendedahkan kes yang sama dan kali ini melibatkan bayi berusia tiga bulan. Hakikatnya, terlalu banyak kes serupa berlaku saban hari, kisah kelalaian pengasuh dan taska, malah tak terkecuali kes-kes penderaan bayi secara sembunyi dan hanya dikesan setelah bayi tersebut pergi mengadap Ilahi. Dalam kes terbaru, agak sukar untuk saya percaya seorang pengasuh menjaga empat bayi serentak pada satu masa.

Kenapa boleh jadi begitu? Saya tahu, ramai yang beranggapan menjaga bayi adalah mudah dan senang. Sebabnya bayi hanya tahu tidur dan tidur dan tidur. Bagi je botol susu, letak dalam buai… dah, nanti lelap lagi lah bayi tu. Teringat kata seorang pengasuh di taska anak-anak saya suatu masa dulu. “Kami kena jaga dua baby serentak. Kalau dua-dua nangis tu, Kak A pesan baringkan jer dua-dua sekali kat atas riba, seorang sebelah. Pas tu, goyang je lah peha tu nanti diamlah….” Pengasuh tersebut menceritakan demikian selepas saya mempertikaikan kenapa bayi bertambah sedangkan pengasuh masih dalam jumlah yang sama. Mana nak jaga kanak-kanak yang dah besar sikit lagi. Dek sebab itu jugalah, saya berhenti menghantar anak-anak saya ke sana, bimbang dengan keselamatan da keselesaan anak-anak biarpun tika itu Ayuni dah tiga tahun dan Suhail dah dua tahun.

Terus terang, itu adalah kata dan pendirian orang tak ada akal. Kalaulah tak reti nak jaga bayi sekalipun, fikirkanlah secara waras, apakah wajar seorang bayi yang sinonim dengan tidak mengerti apa-apa: tidak mampu melafazkan apa-apa, laparnya adalah tangisan, dahaganya adalah tangisan, sakitnya adalah tangisan, ngantuknya adalah tangisan, basah kencing atau berak adalah tangisan… segala-galanya yang dilalui dalam kehidupan harian seorang bayi adalah hanya dengan satu signal atau tanda iaitu tangisan… wajarkah diperlakukan sedemikian???

Hakikatnya, menjaga seorang bayi memerlukan perhatian sepenuhnya daripada pengasuh. Ya, seorang bayi lebih banyak tidur, itu saya akui. Namun, tidur bayi juga perlu diperhatikan, bukan hanya menunggu suara tangisan atau rengekannya sahaja. Kes tersedak susu sewajarnya tidak berlaku sekiranya seorang pengasuh, tak kiralah pengasuh di rumah atau di taska, memberikan perhatian yang sewajarnya kepada bayi tersebut.

Menyusukan bayi menggunakan botol bukan bermaksud buat jer susu kemudian disuap ke mulut bayi, lapik dengan bantal agar selari dengan kedudukan mulut bayi kemudian ditinggalkan begitu sahaja. Sebaliknya menyusukan bayi perlukan perhatian sepenuhnya daripada pengasuh atau penjaga bermula daripada hisapan pertama hingga hisapan terakhir. Setelah selesai minum pula, bayi perlu disendawakan bagi memberikan keselesaan sepenuhnya kepada bayi. Saya yakin, proses wajib ini tidak dilakukan di dalam kes-kes tersedak susu dan saya juga yakin, ramai yang bersetuju jika saya katakan, pengasuh di dalam kes tersedak susu ini boleh dikaitkan dengan kes membunuh tanpa niat.

Bunyinya seakan keras dan mungkin zalim tetapi itulah hakikatnya. Jika kes-kes penculikan kanak-kanak boleh dikaitkan dengan kelalaian ibu bapa, kenapa kes tersedak susu ini tidak dikaitkan dengan kes kelalaian pengasuh malah kes tersedak adalah lebih tepat menunjukkan kelalaian pengasuh atau penjaga berbanding kes-kes penculikan kanak-kanak.

Saya bukan nak melawan takdir. Saya bukan nak memberontak keras mewakili ibu bapa bayi terlibat atau nak lebih-lebih meluahkan rasa berbanding mereka. Saya hanya inginkan pihak berwajib mengambil perhatian tentang perkara ini. Apakah nak tunggu hingga lebih banyak lagi kes bayi yang baru nak belajar hidup meninggal dek kerana tersedak susu? Nak tunggu lebih ramai ibu bapa yang baru sahaja belajar menumpahkan kasih sayang kepada bayi mereka, terpaksa menderita menerima hakikat bayi mereka tersedak susu? Bunyinya mudah, tersedak susu tetapi bagi seorang bayi, ia adalah perkara yang perlu dielakkan. Sebabnya? dah tentulah membahayakan nyawa sebab tu boleh membawa maut.

Saya pernah luahkan di dalam blog saya dan kali ini, sekali lagi saya ingin meluahkan rasa hati yang sama. Saya merayu kepada semua ibu bapa di luar sana, berhati-hati memilih pengasuh anak anda terutama jika anak anda itu masih seorang bayi yang tak mampu menceritakan apa juga tindakan pengasuh kepadanya. Carilah pengasuh yang hanya menjaga bayi anda sahaja agar sepenuh perhatian dapat diberikan kepada bayi anda. Jika anak anda di taska, pastikan juga perkara yang sama. Dalam masa yang sama juga, ada tikanya kita perlu benarkan orang menjaga tepi kain kita agar kita tidak menyesal di belakang hari. Malah sesekali lakukanlah pemeriksaan mengejut bagi memastikan segalanya di dalam keadaan selamat. Ya, berserah kepada Allah hanya setelah anda berikhtiar.

"Ya Allah!! Kau selamatkanlah anak-anak yang tak berdosa dan Kau ubahlah sikap mereka yang jahat dan berpura-pura agar ikhlas menyayangi anak-anak kami dan menjaga mereka dengan jujur. Jika mereka masih dengan kejahatan mereka, Kau berikan kami kesedaran agar kami tidak terlambat bertindak dan Kau berikan balasan setimpal dengan perlakuan mereka.. amin ya rabbal a'lamin...!!!!"

****Siaran Mac 2009

03 Februari 2011

Memujuk suami membantu kerja rumah

Baru-baru ni, saya berkesempatan bertanya khabar melalui yahoo messenger dengan adik bekas rakan sekerja yang kini telah memasuki sektor kerajaan. Tujuan asal nak menjemput ke pelancaran buku, dah jadi sesi sembang yang panjang. Ya lah, dah lama juga tak berbual apatah lagi berjumpa. Dulu tika bekerja bersama, dia masih bujang dan saya mempunyai dua anak. Sekarang, anak saya dah tiga dan dia juga mempunyai seorang cahayamata. Dalam sembang-sembang tersebut, dia ada tanyakan: “Kak Su, camana ya nak pujuk suami tolong sama buat kerja rumah?” Belum sempat saya menjawab, ada panggilan masuk. Saya cuma sempat balas: “Nanti akak bincangkan hal ni yer.” Seperti yang dijanjikan, saya kemukakan semula soalan adik bekas rakan sekerja tersebut melalui ruangan ini sebab saya yakin, ramai juga yang ingin tahu bagaimanakah caranya nak pujuk suami membantu kerja-kerja rumah.

Perkara paling utama ialah minta bantuan suami daripada awal perkahwinan. insyaAllah jika sejak mula anda telah biasakan suami anda membantu anda, takkan ada masalah lagi di belakang hari. Masalahnya, ramai isteri yang nak tunjuk hebat pada awal perkahwinan. Semua dia nak buat, suami nak tolong tak dibenarkan. Bila dah lama, dah ada anak atau anak-anak, suami yang dah terbiasa ‘order saja’, sukarlah nak ubah perangai. Saya faham dan tahu niat baik anda, nak jadi seorang isteri yang solehah. Jadilah, saya tak larang malah saya sokong tapi kenalah bijak mengatur cara. Seorang klien pernah mengadu, dia dah terbiasa manjakan suami hatta kalau nak pergi atau balik kerja, suami hanya duduk di sofa dan lunjurkan kaki, isteri yang akan pakaikan dan tanggalkan stoking. Nak minum air pula, tak cukup letak cawan di meja, kena hulurkan kepada suami. Bila dah ada bayi, sikap suami masih sama. Bayangkanlah kekalutan si isteri.

Lantas, kepada isteri yang masih baru memasuki gerbang rumahtangga, jangan manjakan suami anda dalam kerja-kerja rumah. Terus terang, saya sendiri tika awal perkahwinan, jarang sangat nak hidangkan minuman untuk suami kecuali jika kami minum bersama. Kebiasaannya, saya hanya akan sediakan minuman dan tinggalkan di dapur. Saya akan beritahu suami, nanti kalau nak minum, dia akan ambil sendiri. Tika awal perkahwinan pula, kami belum ada mesin basuh baju. Jadi, kami sepakat untuk cuci baju sendiri. Memasak pula, ada gilirannya hinggakan suami yang hanya tahu goreng telur dadar, dah pandai masak kari dan sambal.

Saya bukan ‘queen control’ tapi sebagai seorang isteri yang bekerja, saya perlu lakukan semua itu. Alhamdulillah, agaknya sebab suami pun dah biasa daripada awal, dah tak banyak la kerenahnya. Ye lah, awal-awal kahwin masih tinggi cintanya, takkan nak melenting dek kerana kena buat kerja-kerja rumah. Padahal semua kerja-kerja tu adalah kerja-kerja biasa yang juga dilakukan oleh seorang lelaki bujang kan? Ingat!! Mempunyai isteri bukan bermaksud anda mempunyai pembantu rumah.

Cara paling baik nak minta suami tolong anda ialah dengan meminta suami menemankan anda melakukan kerja-kerja tersebut. Sebagai contoh, ketika sama-sama penat sampai ke rumah daripada tempat kerja, ajaklah suami temankan anda di dapur untuk memasak. Mungkin suami anda akan mengelak sebab nak rehat sambil membaca akhbar atau menonton televisyen. Jangan marah dulu. Pujuk dengan lembut. Anda boleh cakapkan ada cerita menarik yang anda nak kongsi dengannya ketika itu juga. Jika itu alasan anda, pastikan anda benar-benar mempunyai cerita menarik.

Jika anda nak lipat baju, bawa baju-baju tersebut ke tempat di mana suami anda berada, selalunya sebelah malam di depan televisyen lah kan. Dalam anda melakukan kerja-kerja tersebut, luahkan rasa penat anda dan luahkan juga keseronokan anda jika suami anda dapat membantu. Jika suami masih pura-pura tak dengar, tika inilah anda perlu cakap terus terang, minta suami anda membantu anda. Nak minta suami bantu anda pula, kenalah secara berhikmah. Ingat!! Jangan mendesak atau mengarah!! Suami memang pantang menerima arahan isteri. Sebaliknya mulakan dengan perkataan “tolong” dan ucapan dalam nada yang lembut, seakan-akan merayu. Kalau guna perkataan tolong tapi dengan nada yang keras, takkan berkesan. Bimbang nanti anda pula ditempiknya.

Kepada isteri yang telah terbiasa melakukan segalanya seorang diri, jangan bimbang. Anda boleh mulakan daripada sekarang. Cara paling baik, luahkan hasrat hati anda yang pasti seronok jika suami dapat bantu anda uruskan rumahtangga seperti pasangan lain yang dah bersama melakukannya. Bila nak luah? Kata orang, masa paling baik ialah selepas sama-sama menyelesaikan hajat batin. Belai rambutnya, mainkan jari-jari di badannya dan cakaplah dalam nada suara yang lembut, mendayu dan merayu. Gunakan kuasa memikat anda sepenuhnya sampailah suami mengaku ‘YA’ akan tolong anda. Jika malam pertama gagal, cuba lagi malam esoknya dan jangan putus asa. Dalam masa yang sama, berdoa minta Allah lembutkan hati suami. Isteri suri rumah sepenuh masa pun boleh cuba lakukan yang sama, sekurang-kurangnya suami membantu anda waktu hujung minggu, dapat juga lah sesekali anda beristirehat.

Kepada para suami, tugas menguruskan rumahtangga dan anak-anak bukanlah tugas dan tanggungjawab isteri anda sahaja. Lakukanlah bersama-sama, insyaAllah akan bertambah semarak cinta.

****Siaran Mac 2009.