25 Jun 2010

Erti ulangtahun kelahiran

“Happy birthday to me!!! Happy birthday to me!! Happy birthday! Happy birthday!! Happy birthday to me!!!!”

Ya!! Tika perbincangan ini disiarkan, saya baru saja meraikan ulangtahun kelahiran saya. Yang ke berapa? Yang ke 34 tahun! Tak perlu lah saya nak rahsiakan walau kerap juga saya mendapat maklum balas, penampilan saya tidak menunjukkan usia saya yang sebenar. Nampak lebih berumur tentunya. Tak kisah la kan. Bagi saya, tua atau muda bukan satu masalah, malah bukan juga satu kelebihan apatah lagi kekurangan. Hakikat sebenar setiap kali tibanya ulangtahun kelahiran kita ialah usia kita bertambah satu angka lagi dan paling penting, masa hayat kita makin singkat.

Tidak dinafikan, setiap kali ulangtahun, rata-rata ucapan yang sering diberikan ialah semoga panjang umur, murah rezeki dan bahagia selalu. Tiada siapa pun yang ingin menamatkan riwayat hidupnya segera. Semua manusia yang waras di muka bumi ini, inginkan kehidupan yang lebih panjang dan lama. Sebabnya? Terlalu banyak perkara atau hasrat yang belum ditunaikan. Namun, berapa ramaikah yang meletakkan sasaran untuk melengkapkan diri kita menjadi hamba-Nya yang diredhai agar mendapar rahmat dan barakah dalam kehidupan di dunia dan juga akhirat?

Berapa ramai pula yang menjadikan impian dan cita-cita untuk menjadi suami atau isteri solehah, penyejuk dan penenang perkahwinan dan rumahtangga? Berapa ramai juga yang menjadikan hasrat untuk menjadi pembimbing anak-anak dan keluarga ke jalan yang diredhai oleh-Nya agar jika tiba masa dijemput mengadap Ilahi, anda telah meninggalkan barisan anak-anak yang soleh dan solehah yang akan sentiasa mendoakan anda? Paling penting, siapakah antara anda yang memberikan ucapan sayang dan mengucapkan terima kasih kepada mak atau ibu atau mama atau ummi atau apa saja panggilannya, kerana melahirkan anda ke dunia ini?

Saya percaya, memang boleh dibilang dengan jari jumlah mereka yang mendapat jawapan YA bagi semua soalan saya tadi. Yang lain? Rata-ratanya ramai yang menjadikan hari ulangtahun kelahiran sebagai hari bagi menguji cinta atau setia kasih si dia, ada juga yang menjadikan hari ulangtahun sebagai satu titik mula bagi melangkah lebih jauh hingga meminggirkan insan tersayang di sekeliling. Ada yang mengabdikan hari ulangtahun kelahiran menjadi tarikh bersejarah yang lain. Tak kisah lah apa juga cara atau hasrat anda bila tiba hari ulangtahun kelahiran. Yang perlu diingat dan disimpan kemas di lipatan memori anda ialah setiap kali tibanya ulangtahun kelahiran anda bererti anda makin hampir ke penghujung hayat.

Oppsss… saya bukan nak takutkan anda dengan kematian. Ya lah, nak takut apa kan sebab semua orang tau kematian adalah perkara yang pasti. Tujuan saya bincangkan mengenai perkara ini ialah supaya anda termasuk saya sendiri lebih menghargai insan di sekeliling malah menghargai diri anda sendiri. Seperti yang saya tegaskan tadi, maut memang menunggu di depan sana, hanya kita tidak tau bilakah masanya yang tepat? Bila bertambah usia, bertambah dekat lagi lah diri kita dengan ajal walau tidak dinafikan ada yang ‘dipanggil’ dalam usia yang muda.

Lantaran itu, jadikanlah ulangtahun kelahiran anda sebagai pendorong untuk anda menjadikan diri anda seorang yang lebih baik dalam setiap lapangan kehidupan: seorang anak yang lebih baik, seorang isteri atau suami yang lebih bertanggungjawab, seorang ibu atau ayah yang lebih berperanan membentuk anak-anak menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara dan paling utama: jadikan diri anda seorang hamba yang abid atau abidah yang bijak mengurus masa untuk beribadat kepada-Nya tanpa meninggalkan terus urusan duniawi.

Peganglah kata-kata hikmah: “Beribadatlah kepada Allah seolah-olah kamu akan mati esok hari dan bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selamanya.” Jangan pula anda rasakan anda akan hidup lama hingga meletakkan satu tarikh ulangtahun kelahiran sebagai satu titik untuk berubah. Suami kepada seorang klien saya yang sama-sama bertemu dengan saya bagi menyelesaikan kes mereka, sesuka hati menjawab: “Umur muda lagi, 40 nanti berubah lah.” Astaghfirullah… itu yang keluar dari mulut saya tika itu dan satu soalan saya berikan: “Encik yakin kah akan hidup hingga umur 40? Buatnya keluar saja dari pejabat saya ni, encik meninggal dunia?” Mungkin agak pedas tapi itulah saja respons terbaik untuk manusia sedemikian dan lelaki tersebut hanya tersenyum.

Saya tak minta atau mendoakan umur sesiapa pun juga dipendekkan. Cuma saya geram bercampur sedih bila ada di kalangan ahli masyarakat yang menjadikan ulangtahun kelahiran sebagai tarikh untuk meletakkan diri di ambang masalah. Kenapa masalah? “Dah umur 35, boleh la nak merasa kahwin dua.” Itu kata suami seorang klien saya. Dua kes saya kemukakan hakikatnya mewakili banyak kes serupa; lupa hakikat sebenar ulangtahun kelahiran dan lupa untuk bersyukur apabila dibangunkan pada setiap pagi. Mulai hari ini, sama-sama lah kita berubah…

“Ya Allah! Kau panjangkanlah usiaku agar aku boleh mendidik dan membesarkan anak-anakku menjadi hamba-Mu yang soleh dan solehah, agar aku dapat berbakti kepada Mak dan Bapa, menyumbang sesuatu kepada masyarakat dan paling penting, agar aku sempat mengumpul pahala amalan bagi kehidupan abadi di akhirat. Amiinnn!!!!”

****Siaran Disember 2008

16 Jun 2010

Kenapa suami jadi ketua keluarga?

Baru-baru ni saya terima satu emel yang mengandungi pendapat; isteri tidak perlukan izin suami untuk merancang keluarga. Isu ini telah saya bincangkan di dalam blog saya. Tumpuan saya kali ini ialah tentang satu soalan yang lahir rentetan daripada komen saya berkenaan pandangan tersebut; kenapa isteri perlukan izin suami dalam setiap tindakannya kecuali di dalam beberapa perkara tertentu? Malah, seorang lelaki secara telus meluahkan, tidak suka dengan arahan tersebut yang seolah-oleh menyekat kemahuan isteri. Terkejut juga pendapat sedemikian keluar daripada buah fikiran seorang lelaki. Ya lah, manusia kan punya pelbagai ragam.

Tak kiralah apa pendapat atau pandangan anda, secara mudah dan jelasnya Islam memang menetapkan, isteri perlu malah wajib mendapatkan izin suami dalam setiap tindakan yang ingin dilakukannya kecuali bagi melaksanakan perintah Allah yang wajib, kerana suaminya itu adalah ketua keluarga. Tak kiralah suami itu mempunyai latar belakang pendidikan yang lebih rendah berbanding isteri atau mempunyai pekerjaan atau pendapatan yang lebih sikit berbanding isteri atau si suami merupakan pekerja bawahan kepada isterinya sendiri, suami tetap menjadi ketua keluarga, yang wajib dihormati, ditaati dan diminta izin untuk melakukan apa juga tindakan di dalam kehidupan harian si isteri kecuali di dalam perkara berkaitan kewajipan melaksanakan perintah Allah dan Rasul-Nya.

Di dalam satu firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita …….” – surah al-Nisa’ ayat 34. Di dalam satu hadis pula, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang supaya sujud kepada orang lain tentu sekali aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya.” – hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim.

Dua dalil ini adalah antara beberapa dalil yang menunjukkan dan membuktikan kepada kita semua keperluan seorang isteri mentaati dan menurut cakap dan kata-kata suami yang tidak melanggar hukum dan kehendak syarak.

“Ya lah! Takkan itu jer sebabnya? Sebab dah ada dalil dalam al-Quran dan al-hadis? Sebab lelaki ada keistimewaan? Zaman sekarang ni, dah ramai kaum wanita yang mampu mencapai setiap perkara atau tindakan yang boleh dilakukan oleh lelaki, masih perlukah suami jadi ketua keluarga?” Tak mustahil ada suara-suara yang melontarkan soalan sebegini.

Semua orang tahu, setiap perkara yang ditentukan dan ditetapkan oleh Allah SWT mempunyai alasan dan sebab yang tersendiri. Sama lah juga kenapa kaum lelaki atau suami dijadikan ketua di dalam rumahtangga. Perkara paling utama ialah kerana suami dipertanggungjawabkan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Hai! Zaman sekarang ni, dah ramai pun isteri yang bekerja dan menanggung diri sendiri malah ramai juga yang menanggung suami. Saya akui kebenaran tersebut namun hukum asal tetap mengatakan suami yang wajib memberikan nafkah. Jika berlaku berbeza daripada ketetapan asal, anda diberikan jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Satu perkara paling penting dan tak mungkin akan berlaku sebaliknya biar apa juga keadaannya ialah suami adalah orang yang bertanggungjawab mempastikan setiap ahli keluarganya berada di landasan yang betul, sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras lagi kasar (layanannya); mereka tidak pernah derhaka kepada Allah dalam setiap perkara yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” – surah al-Tahrim ayat 6.

Lanjutan daripada perintah Allah SWT ini meletakkan peranan dan tugas berat suami sebagai ketua keluarga. Suami yang gagal menjalankan peranan dan tanggungjawab ini, bukan saja membawa ahli keluarganya ke jalan yang tidak diredhai Allah malah meletakkan dirinya turut berada bersama mereka. Kenapa? Kerana suami yang gagal mendidik isteri dan anak-anak atau gagal menyuruh isteri dan anak-anak melaksanakan setiap perintah dan meninggalkan setiap larangan Allah dan Rasul-Nya, akan turut sama menerima dosa yang dibuat oleh isteri dan anak-anaknya.

Isteri dan anak-anak tak solat, suami biarkan... suami juga menanggung dosa pengabaian solat oleh isteri dan anak-anak. Isteri dan anak-anak (tak kiralah lelaki atau perempuan sebab setiap lelaki dan perempuan mempunyai ketetapan aurat yang perlu dipelihara) yang tidak menutup aurat sewajarnya seperti kehendak syarak, dosa mendedahkan aurat ini bukan sahaja ditanggung oleh isteri dan anak-anak tersebut sebaliknya turut ditanggung oleh si suami. Tak cukup dengan dosa sendiri, kaum lelaki bernama suami dan ayah ini akan turut membawa dosa isteri dan anak-anak mereka juga bersama mereka ke akhirat.

Lantaran itulah, nama sebagai ketua keluarga bukan satu kemegahan malah bukan kebanggaan sebaliknya satu tanggungjawab.

****Siaran Disember 2008

11 Jun 2010

Tangani Konflik Rumahtangga

Seorang remaja berusia 16 tahun mengirimkan emel kepada saya, memohon panduan bagaimana untuk dia meleraikan pertengkaran yang sering saja berlaku antara ibu dan ayahnya. Malah, ada tikanya pergaduhan ibu bapanya berpunca daripada perkara yang remeh. Bukan sehari dua malah menurut remaja berasal dari utara tanahair ini, sikap ibu bapanya itu dah lama, membuatkan remaja tersebut lemas jika berada di rumah.

Simpati saya kepada remaja ini. Kenapalah anak yang berusaha untuk meleraikan konflik sebaliknya ibu bapa masih kekal berada di dalam konflik tersebut. Ada kemungkinan mereka ini ‘selesa’ dengan keadaan tersebut atau pun tidak sedar diri mereka berada di dalam konflik.

Hakikatnya, perkahwinan merupakan satu komitmen yang serius di antara lelaki dan perempuan untuk hidup bersama sepanjang hayat. Sebarang perbezaan dari segi cara berfikir, sikap malah citarasa antara suami isteri boleh menimbulkan perselisihan faham bahkan pertengkaran. Lantaran itulah, setiap pasangan perlu mempunyai kemahiran menguruskan konflik bagi mengelakkan konflik tersebut menjadi krisis yang lebih serius. Malangnya, jangankan nak uruskan konflik malah ramai pasangan suami isteri yang tak sedar mereka sedang berhadapan dengan konflik.

Tahukah anda, punca-punca yang boleh menimbulkan konflik? Terdapat pelbagai punca konflik di dalam rumahtangga. Antaranya ialah: pengabaian tanggungjawab sebagai suami atau isteri, tiada perasaan kasih sayang, sering menyalahkan pasangan bila menghadapi masalah, komunikasi yang tidak berkesan, masalah kewangan, tumpuan yang berlebihan terhadap kerjaya, masalah di dalam hubungan seksual, campur tangan orang ketiga termasuk tidak setia kepada pasangannya.

Tidak dinafikan, konflik merupakan satu lumrah dalam kehidupan berumahtangga. Bak lirik lagu yang terlalu sinonim dengan rumahtangga: sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri…. namun jika sering sangat tergigit pun, boleh mendatangkan kesan yang tidak baik. Sama juga dengan konflik yang tidak ditangani, boleh menimbulkan pelbagai kesan negatif. Antaranya ialah perasaan tertekan yang menyebabkan penampilan diri tidak ceria, halangan untuk berkomunikasi dengan baik, kesetiaan dan penghormatan terhadap pasangan berkurangan, peranan dan tanggungjawab tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya, pasangan sering bertengkar dan paling klimaks, boleh berlaku perpisahan atau penceraian.

Seperti yang saya tegaskan di awal tadi, setiap pasangan suami isteri perlu bijak di dalam menguruskan konflik. Perkara yang paling penting yang perlu anda lakukan untuk menangani konflik ialah bertenang dan bersabar serta kawal emosi anda agar tidak mengatasi rasional dan kewarasan fikiran anda.

Seterusnya:
- segera kenalpasti punca konflik
- utamakan isu-isu yang boleh diselesaikan
- segera menangani masalah secara bersama, bukan bersendirian
- pilih cara yang boleh dilaksanakan dengan mudah dan tidak memerlukan banyak perbelanjaan, tenaga atau masa
- tidak mencari kelemahan pasangan walaupun punca konflik adalah kelemahannya sebaliknya gunakan jalan tengah, tak rugi mengalah kerana mengalah bukan bererti anda kalah
- wujudkan komunikasi berkesan - bersikap jujur dan sedia mendengar
- pilih masa yang sesuai –> jika pasangan anda masih gagal mengawal emosi, sejukkan emosinya dulu dan jika anda tidak mampu, jauhkan diri anda daripadanya dan beri peluang dan masa agar emosinya sejuk dahulu
- dapatkan bantuan luar seperti khidmat nasihat dan bimbingan kaunselor, tokoh agama, peguam atau doktor
- paling penting: doa yang berterusan kepada Allah, memohon petunjuk dan bantuan-Nya untuk mengatasi konflik.

Ramai pasangan suami isteri yang tidak dapat terima wujudnya konflik di dalam rumahtangga mereka, tambahan pula jika perkahwinan wujud atas dasar cinta atau suka sama suka. Konflik adalah perkara biasa di dalam perkahwinan dan anda tidak boleh mengelak daripada mengalami konflik. Yang perlu anda lakukan ialah tangani konflik tersebut.

Perlu diingat, perkahwinan dan kehidupan sebelumnya adalah dua perkara yang amat berbeza. Jika dulu, anda hidup sendirian tetapi kini, di dalam diri anda ada dia, begitu juga di dalam dirinya ada anda. Tidak salah mempunyai pendapat atau citarasa yang tak serupa. Tak perlu menukar diri anda menjadi dirinya demi mengelakkan konflik. Kebahagiaan sesebuah perkahwinan bukan wujud atas dasar persamaan kehendak atau citarasa antara suami dan isteri sebaliknya kebahagiaan terhasil daripada keserasian antara kehendak anda dan pasangan anda.

****Siaran November 2008

07 Jun 2010

Yang mudah AKHIRNYA menyusahkan juga

Ketika negara gempar dengan kisah perkahwinan seorang artis dengan wanita yang berada di dalam tempoh eddah, rakan saya yang menjadi qadhi di sebuah daerah di utara tanahair juga berdepan kes yang sama. Saya pula menerima kepastian daripada seorang klien, benarlah suaminya bernikah lagi baru-baru ini menggunakan sindiket. Dalam satu emel pula, seorang isteri mengadu tentang sikap suaminya yang masih enggan mendaftarkan perkahwinan mereka (yang dilakukan di sempadan kerana poligami tanpa kebenaran) sedangkan anak dah nak masuk dua dan anak pertama, masih belum mempunyai sijil kelahiran hingga kini, dah berusia hampir tiga tahun.

Empat kes yang berbeza fakta tetapi mempunyai satu persamaan, mencari jalan mudah tetapi akhirnya menimbulkan masalah. Teringat kata orang: bukan senang nak senang dan bukan susah nak susah. Ya lah, kalau nak susah tu, mudah je tapi kalau nak senang belakang hari, perlulah bersusah sedikit di awalnya. Kalau senang dan mudah di awal tadi, biasanya malah kebanyakan kes membuktikan, akan ada payah dan susahnya di belakang hari.

Ramai yang tahu hakikat ini. Tak perlu saya sentuh di dalam perbincangan ini pun, dah ramai yang tahu. Namun, yang menjadi masalahnya ialah tahu tetapi enggan mengambil iktibar. Ada juga yang tahu tetapi bila terkena batang hidung sendiri, bertindak seolah hakikat bukan senang nak senang tu dusta semata-mata. Tetap nak juga ambil jalan mudah dengan pendirian, berdoalah agar mudah juga belakang hari. Ya… memang betul lah tu, kita usaha dan yang lain-lainya kita serahkan kepada Allah yang Maha Kuasa.

Jangan lupa… usaha dan ikhtiar perlulah mengikut jalan dan landasan yang betul. Sungguh, matlamat tidak menghalalkan cara walaupun jalan yang anda ambil hanyalah bercanggah dengan undang-undang dan bukan hukum syarak. Satu perkara yang perlu diingat terutamanya oleh para gadis dan wanita di luar sana, undang-undang adalah untuk kebaikan anda. Melanggar undang-undang bererti anda menempuh bencana dan paling tragis, ada kes perlanggaran undang-undang dan dalam masa yang sama bercanggah juga dengan hukum syarak.

Ketahuilah, perkahwinan bukanlah perkara main-main apatah lagi perkara gurauan atau suka-suka. Perkahwinan memerlukan agar setiap rukun dan syaratnya dipenuhi. Rukun nikah ada lima: calon isteri, calon suami, wali, dua orang saksi dan sighah iaitu ijab dan qabul. Saya tak nak jelaskan dengan terperinci megenai hukum dan syarat nikah ini. Saya yakin, anda boleh cari faktanya sendiri. Namun, fokus saya ialah mengenai perkara yang selalu diambil mudah di dalam perkahwinan iaitu wali dan saksi.

Teringat kes pertama yang saya kendalikan ketika menjalani latihan praktikal di Kuala Muda, Kedah: seorang lelaki ditangkap bersama seorang wanita yang diakui sebagai isterinya. Malangnya ketika tangkapan dibuat, tiada surat akuan nikah yang berjaya dikemukakan. Ketika perbicaraan, lelaki ini mengeluarkan kenyataan yang amat menggeletek hati saya hinggalah sekarang.

Tika hakim bertanya: siapa wali perkahwinan? Si lelaki menjawab: “saya tak tau yang arif, abang angkat saya yang uruskan”. Hakim bertanya lagi: siapa saksi perkahwinan? Jawapan masih sama: “saya tak tau yang arif, abang angkat saya yang uruskan”. Ya Allah!! Kenapalah boleh jadi begini? Itu kata hati saya tika itu dan setelah lebih 10 tahun terlibat di dalam bidang kerjaya ini, saya kenal pasti satu perkara, ramai yang mencari jalan keluar yang mudah tanpa memikirkan kesan dan akibatnya di belakang hari. Seperti kes lelaki yang terlalu mengharapkan abang angkatnya inilah, khabarnya perkahwinan dijalankan oleh qadhi Thailand tetapi bila ditanya di mana tempat nikah, jawapannya: sebuah kampung dekat dengan Kuala Ketil. Alahai, bila pulak Kuala Ketil masuk bawah sempadan Thailand?

Itu kisah pada tahun 1996. Saya tahu dan saya yakin, hari ini tika kita disogok dengan pelbagai kemajuan, masih ramai lagi yang terlibat dan bercadang untuk terlibat di dalam perkara yang bodoh seperti itu. Ya, memang perkara bodoh dan juga memalukan.

Saya merayu kepada para gadis atau wanita di luar sana, jangan termakan pujuk rayu lelaki yang konon cintakan anda sepenuh hati. Jika benar cinta, minta si lelaki berkahwin dengan anda mengikut cara yang betul, tidak melanggar adat, menepati kehendak undang-undang dan paling penting bertepatan dengan kehendak syarak. Ketahuilah dan ingatlah, simpankan kemas di lipatan minda anda… natijah dan kesan daripada perbuatan bodoh itu akan diterima dan ditanggung oleh anda sendirian. Terus terang, hampir kebanyakan kes sebegini, kaum lelaki bertindak lepas tangan. Yang merana dan menderita, yang terpaksa meneruskan hidup dalam sengsara adalah anda!!

Lantaran itu, biarlah bersusah dahulu kerana insyaAllah, akan terbentang kesenangan di depan sana….

****Siaran November 2008

02 Jun 2010

Ramai wanita kini hilang harga diri

Saya percaya, ramai kaum wanita yang marah dengan tajuk perbincangan saya kali ini. Marahlah!! Kenyataan saya ini adalah satu hakikat. Kenapa? Sebab terlalu ramai wanita kini, tak kira remaja atau dewasa, dara atau isteri orang ataupun janda, selalu tampil dalam pakaian yang bertelanjang. Apa maksud pakaian yang bertelanjang? Saya yakin, ramai yang faham maksud saya. Ya!! Berpakaian tetapi dalam masa yang sama mendedahkan anggota badan yang tidak patut didedahkan. Jika dulu sekadar kain belah, berpakaian kain singkat setinggi paras lutut atau memakai pakaian yang berlengan pendek hingga menampakkan lengan atau ketiak. Kini, pakaian yang dikatakan mengikut fesyen terkini hampir menelanjangkan kaum wanita yang memakainya. Dah banyak kes sebegini yang saya jumpa.

Hujung minggu baru ni, saya ke sebuah pasar segar berhambiran rumah saya. Ketika beratur di kaunter bayaran, terdengar suara seorang wanita awal 20-an menyoal tentang tanda harga kepada seorang pekerja kaunter sebelah saya. Saya memandang, sekadar nak kenal pemilik suara. Terkejut dan tiba-tiba saya rasa amat malu kerana terpandangkan pakaiannya: bajunya pendek menampakkan pusat dan pinggang seluarnya berada di bahagian bawah perut. Sungguh, jika tertarik sikit sahaja pun, pasti akan menampakkan alat sulitnya. Ya Allah!! Terasa kudung kepala saya tika itu. Dalam cubaan bersahaja, lelaki yang disoal wanita tadi tiba-tiba bersuara: seluar kau dah londeh tu. Kang aku naik geram, jangan nak salahkan aku pulak!! Ya Allah!!! Saya rasa macam nak lari sahaja dari situ. Malu… malu sangat!! Tapi wanita tadi, saya dengar tergelak manja. Astaghfirullah!! Apa dah jadi? Ke mana perginya rasa malu di dalam diri?

Semalam, dalam perjalanan balik dari kerja, ketika bergerak perlahan dalam kesesakan jalan raya, melintas di hadapan kereta kami (saya dan adik-adik berkongsi kereta) sebuah motosikal yang dinaiki oleh seorang lelaki dan seorang perempuan muda. Wanita muda tersebut memakai baju pendek dan seluarnya pula menampakkan belahan lubang duburnya ketika membonceng motosikal tersebut. Sungguh! Kalau dimasukkan sebatang pen, pasti akan terlekat kuat dan tak jatuh walau motosikal dipandu laju. Adik saya yang memandu kereta berusaha ingin mengejar motosikal tersebut, nak khabarkan lubang duburnya dah dilihat orang tapi, mana mungkin sebuah kereta dapat menegjar motosikal tika kesesakan sedemikian.

Itu dua kes yang terdekat. Sebelum ini pun dah banyak kali saya nampak. Cuma sejak kebelakangan ini makin banyak pula kes wanita berpakaian tetapi bertelanjang dan membuatkan saya berfikir, ke mana perginya harga diri anda sebagai wanita? Kenapa nak dedah? Cantik sangatkah punggung anda tu? Lawa sangatkah pusat anda tu? Itu belum lagi yang sesenang hati mendedahkan belakang badan, bahagian dada malah bahagian paha? Allahu akbar!! Tak ada lagikah rasa malu di dalam diri? Yang paling menyedihkan, kebanyakan yang berpakaian tetapi bertelanjang ini adalah wanita Melayu yang kebanyakannya tahu dan faham sangat dengan hukum menutup aurat? Kalau lah tak nak ikut saranan hukum syarak agar menutup aurat pun, berpeganglah dengan prinsip budaya timur yang terkenal dengan adab dan sopan!!

Kalau dah berpakaian mendedahkan alat sulit sendiri, sopan apa lagi?? Ada pulak yang berpakaian dan cantik menutup semua aurat yang wajib ditutup tetapi berpakaian ketat hingga menampakkan bentuk badan. Kalau yang kering tu, tak la ngeri sangat. Tapi ada yang berbadan besar dan gempal. Bak kata Mr Os dalam sebuah filem tika saya remaja dulu (tak ingat apa tajuknya): dia punya ‘bumper’, kalau buat kari, 10 biji kelapa pun tak cukup… dah susuk badan macam tu, masih lagi nak berpakaian mengikut bentuk badan!! Seramnyaaa!!!

Jangan salah faham…. saya bukan menghina! Apa yang saya bincangkan ini adalah satu hakikat, satu kebenaran. Saya sendiri bersusuk badan besar, bertudung labuh menutup dada tetapi jika sesekali angina bertiup hingga pakaian melekat di badan, saya dah kalut nak betulkan! Kenapa? Sebab saya malu menampakkan susuk badan saya. Kalau mempunyai susuk tubuh badan yang cantik pun, tak perlu nak tunjukkan kepada umum. Cukuplah pamerkan kecantikan tersebut kepada suami anda.

Mungkin ada yang berpandangan: alaa, ada kes perempuan pakai tudung pun kena rogol jugak!! Ya! Saya akui kebenaran tersebut. Tahukan anda, kenapa jadi begitu? Sebab sikap dan perangai wanita yang tak ada harga diri, sesuka hati mendedahkan aurat dan susuk badan mereka kepada lelaki ajnabi. Dah kalau anda dah selalu dedah dan pamerkan, manalah nak tarikh perhatian lagi sebab dah tak ada harga!! Rasa teringin yang anda mulakan di dalam naluri lelaki jahat inilah, dilampiaskan kepada wanita-wanita yang berusaha menjaga maruah dan harga diri. Sebab itulah ada kes wanita bertudung menjadi mangsa seks lelaki buas. Jika tidak ada yang mendedahkan, takkan ada keinginan berunsur kebinatangan di dalam diri lelaki!!

Tak perlulah nak dedah lagi!! Tak guna buat pameran percuma, lelaki tengok pun tak teringin nak pilih anda sebab dah pasti, terpaksa berkongsi dengan lelaki lain! Ya lah!! Lelaki lain pun boleh tengok? Apa lagi yang istimewanya?? Lantas… jika bukan anda yang menjaga harga diri anda sendiri, siapa lagi!!

****Siaran November 2008